Laporan Oleh Aiman Najla Muchtar
Majlis Pelancaran Hari Buku Sedunia & Hak Cipta serta Kem Membaca 1Malaysia peringkat SMK LKTP Belitong telah diadakan pada pagi 23 April 2015 bertempat di Dewan Bestari. Semenjak tahun 1996, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) telah menetapkan tarikh 23 April bagi setiap tahun sebagai Hari Buku & Hak Cipta Sedunia (World Book & Copyright Day). Setiap tahun, seluruh negara akan merayakan Hari Buku & Hak Cipta Sedunia dengan pengisian pelbagai aktiviti melibatkan promosi galakan membaca, kegiatan penerbitan dan pembukuan dan pelindungan harta intelek melalui hak cipta.
Menurut Guru Perpustakaan & Media Pn Fairuzi Rahamat, Pusat Sumber Sekolah (PSS) berbesar hati untuk melaksanakan majlis Sambutan Hari Buku & Hak Cipta Sedunia pada peringkat sekolah bagi tahun 2015. Ini selaras dengan saranan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) agar Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia disambut pada peringkat sekolah untuk membudayakan minat membaca dalam kalangan warga sekolah terutamanya para pelajar.
Kem Membaca 1Malaysia pula merupakan salah satu program Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Program Gerakan Tabiat Membaca bertujuan membina tabiat membaca dalam kalangan pelajar sekolah dan pembelajaran sepanjang hayat. Program Kem Membaca 1Malaysia telah dimulakan buat kali pertama pada tahun 2009 dan diteruskan sehingga kini. Pada tahun ini kem ini membawakan tema “Membaca Menjana Pemikiran 1Malaysia”.
Sambutan Hari Buku Sedunia dan Kem Membaca 1Malaysia ini dirasmikan oleh PK1 En Basir Ibrahim. Dalam ucapannya beliau menegaskan untuk menjadi manusia yang hebat dan mempunyai watak cemerlang mestilah memiliki ilmu pengetahuan. Mahu atau tidak, untuk memiliki ilmu pengetahuan mestilah membaca. Oleh itu, untuk jadi cemerlang dalam pelajaran pelajar juga mestilah membaca. Pelajar-pelajar hendaklah sentiasa memilih bahan bacaan yang berilmu dan bermanfaat. Tahniah dan terima kasih kepada PSS kerana berjaya menguruskan program pada hari ini. Semoga yang terlibat dalam aktiviti dan pertandingan yang berlangsung nanti akan memberikan komitmen sepenuhnya.
Selepas perasmian dilancarkan, Guru NILAM Pn Muzaitul Akmar Mohammad menjelaskan bahawa Kem Membaca 1Malaysia ini dijalankan serentak di seluruh negara dengan aktiviti membaca selama 30 minit. Bagaimana pun kerana kekangan masa, aktiviti membaca hanya dapat dijalankan selama 10 minit. Seramai 445 orang warga sekolah telah membaca sebuah buku setiap seorang sekaligus mencipta rekod pembaca terbanyak dalam masa 10 minit tersebut.
Antara objektif program ini dilancarkan adalah;
- Meningkatkan minat membaca dalam kalangan warga guru, staf dan pelajar.
- Memberikan maklumat tentang Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia kepada warga sekolah
- Meningkatkan pencapaian akademik para pelajar
- Meningkatkan jumlah bacaan dan rekod NILAM para pelajar
- Meningkatkan jumlah pinjaman bahan bacaan di Pusat Sumber Sekolah (Program Redeem)
- Menjadikan PSS sebagai tempat rujukan bahan bacaan dan memperkukuhkan kemahiran maklumat dalam kalangan pelajar.
Sepanjang sambutan Hari Buku Sedunia dan Kem Membaca 1Malaysia ini, pelbagai aktiviti pertandingan dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah. Antaranya ialah teka silang kata, pertandingan mewarna poster, pertandingan menaip pantas, spelling bees, jejak maklumat dan pencarian bakat pengacara majlis. Semoga dengan adanya aktiviti seperti ini akan dapat memberi kesan yang positif dalam diri para pelajar kerana “membaca itu jambatan ilmu”.