HKS

File #060515

Pada 6 Mei 2015 Koperasi SMK LKTP Belitong Berhad telah membuat pelancaran Sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) yang disambut secara serentak di seluruh negara bermula 6 hingga 12 Mei 2015. HKS yang diperkenalkan ANGKASA sejak 1995 telah melalui pelbagai transformasi sesuai dengan keperluan dan kehendak warga koperasi sekolah selaku komuniti yang menyambutnya secara rasmi.

Tema sambutan HKS pada tahun ini ialah “Koperasi Berprihatin Terhadap Masyarakat”. Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi mengisi acara sambutan ini antaranya peraduan teka silang kata, menulis esei dan kunjungan kasih. Menurut Penyelaras Program HKS 2015 Sdr. Mohamad Shahrul Md Rashid, kunjungan kasih ini menyasarkan rumah komuniti yang ditimpa sakit agar pihak koperasi sekolah dapat memberikan sumbangan sesuai dengan tema sambutan kali ini koperasi berprihatin terhadap masyarakat. Tambahan lagi matlamat penubuhan koperasi ini bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada membantu masyarakat.

Acara pada pagi ini dimulakan dengan nyanyian lagu Semangat Koperasi dan diikuti pembacaan perutusan dari Presiden ANGKASA, Menteri PDNKK dan Menteri Pendidikan yang disampaikan oleh wakil-wakil pelajar Kelab Koperasi. Pengetua Sekolah Pn Roziah Tawil dalam ucapan pelancarannya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar amnya dan ahli Kelab Koperasi khasnya kerana dapat membuat pelancaran sambutan HKS ini. Menurut beliau lagi dari segi sejarah, koperasi mula masuk ke negara ini pada tahun 1922 dan masuk ke bidang pendidikan pada tahun 1953 di Universiti Malaya seterusnya ke sekolah pada 1959. Pada tahun 2015 ini transformasi koperasi sekolah dipacu ke arah memantapkan fungsinya dalam bidang-bidang ekonomi, sosial dan budaya agar lebih berdaya saing dalam menghadapi pelbagai cabaran politik, ekonomi dan perkembangan ICT.

Pelancaran HKS 2015 diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada ahli lembaga dan pemegang saham koperasi sekolah.

Comments are closed.