Laporan Oleh Hidayah Abdul Hamid
Seorang pelajar dari SMK LKTP Belitong, Muhammad Hafiz Hamdan telah didapati layak dan dipanggil oleh JPAM Negeri Johor untuk mewakili Negeri Johor menyertai Perkhemahan Integrasi Kebangsaan Kadet Pertahanan Awam kali ke 14 yang diadakan di Kem Tekali, Hulu Langat Selangor pada 18 hingga 23 April 2015. Beliau satu-satunya calon dari sekolah ini bergabung tenaga bersama pelajar dari daerah Batu Pahat, Mersing, Pontian dan Johor Bahru mewakili Negeri Johor dalam pertandingan Melawan Kebakaran yang diadakan sewaktu perkhemahan tersebut.
Sebelum ke perkhemahan tersebut, Muhammad Hafiz terlebih dahulu menjalani latihan melawan kebakaran selama seminggu di Pusat Latihan Jabatan Pertahanan Awam Kampung Gajah, Kluang dari 13 hingga17 April 2015.
Hasilnya kumpulan Negeri Johor telah menjadi Johan dari 16 buah negeri yang menyertai pertandingan melawan kebakaran. Di akhir perkhemahan, Muhammad Hafiz telah ditauliahkan pangkat Lans Koperal kerana kejayaan menjadi johan pertandingan melawan kebakaran tersebut. Di samping itu beliau juga memperoleh Sijil Pencapaian 3 Bintang bagi pertandingan kawad kaki, Sijil Pencapaian 4 bintang bagi pertandingan melawan kebakaran dan Sijil Pencapaian Johan melawan kebakaran serta menerima sebuah plak kaca johan kategori pertandingan melawan kebakaran (lelaki). Secara keseluruhannya Negeri Johor mendapat tempat ke 3 dari 16 buah negeri yang bertanding.