File #050215
Perpaduan Nadi Transformasi Negara, itulah tema Sambutan Maulidur Rasul 1436H yang telah disambut di peringkat SMK LKTP Belitong pada hari Khamis 5 Februari 2015. Majlis sambutan bermula pada jam 7.30 pagi dengan membaca Yasin beramai-ramai di Dataran Budi.
Acara perarakan bermula pada jam 8.00 pagi, pelajar dibahagikan mengikut rumah sukan masing-masing dengan membawa sepanduk yang dipertandingkan. Perarakan ini diketuai oleh Ustaz Zamri bin Abdullah dengan bacaan selawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW keluar mengelilingi kawasan sekolah dan berakhir di perkarangan kantin sekolah.
ALBUM GAMBAR SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1436H
Selepas itu semua pelajar ditempatkan di dalam kantin, acara sambutan sambutan diteruskan dengan Pendengaran Bacaan Al Quran oleh Sdr. Mohamad Fakhri bin Abdul Hakim dan terjemahan oleh Sdr. Muhamad Nazirul Faris bin Baseran. Seterusnya diperdengarkan pula bacaan berzanji oleh Sdri. Noor Farisya binti Amir.
Pada sambutan kali ini penceramah jemputan ialah Ustaz Haludin bin Mezah dari Bandar Tenggara. Antara inti sari ceramah yang disampaikan ialah;
- Akal merupakan anugerah Allah yang perlu diisi dengan perkara yang baik-baik.
- Formula menghancurkan musuh yang Nabi ajar kepada kita ialah usaha dan doa.
- Jagalah agama, jangan berfikiran seperti jahiliah.
- Perempuan ibarat emas, maruah perempuan itu mahal.
- Ilmu itu adalah pusaka Nabi-nabi manakala harta itu pusaka firaun.
- Jadilah hamba ilmu, cara mendapatkan ilmu – jaga akhlak dengan guru dan jangan derhaka kepada ibu bapa.
Diakhir majlis Encik Basir bin Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Haludin bin Mezah tanda terima kasih dari pihak sekolah kerana sudi hadir menyampaikan ceramah pada hari ini. Keputusan pertandingan sepanduk antara rumah sukan dimenangi oleh rumah Kinabalu di tempat pertama, diikuti rumah Santubong dan Jerai masing-masing tempat kedua dan ketiga. Hadiah-hadiah berupa hamper telah disampaikan oleh Puan Pengetua Puan Roziah binti Tawil kepada wakil-wakil rumah sukan.
Majlis diakhiri dengan jamuan makan, pelajar perempuan di surau manakala pelajar lelaki di kawasan kantin. Tepat jam 11.00 pagi semua pelajar kembali ke bilik darjah masing-masing untuk sesi P&P.