Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Sekolah

File #080215

Majlis ini telah dijalankan pada 8 Februari 2015 yang merupakan program rutin dan satu usaha untuk memberi pengiktirafan kepada pemimpin sekolah yang turut memberi sumbangan kepada sekolah. Objektif penganjuran Majlis Penyampaian Watikah ini adalah kerana Pemimpin Sekolah wajar diberikan pengiktirafan atas sumbangan dalam membantu pentadbiran sekolah, dan semua pemimpin sekolah perlu menyedari akan tanggungjawabnya kepada sekolah.

Dalam ucapan alu-aluan dari Ketua Bidang Bahasa, Encik Md Fauzi bin Kasim mengajak semua warga sekolah agar menjadikan tahun 2015 sebagai tahun kecemerlangan. Beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pemimpin pelajar yang dilantik dan mengharapkan mereka dapat menjalankan tugas dengan jujur serta menjadi pemimpin yang berkaliber di masa akan datang.

Seterusnya, tetamu jemputan YDP PIBG Encik Zainal Abidin bin Jelani menyampaikan ucapan perasmian. Beliau menegaskan waktu di sekolah inilah masanya untuk anak-anak menunjukkan bakat sebagai pemimpin dan mengingatkan supaya menjaga disiplin diri, menunjukkan peribadi tinggi kepada rakan-rakan lain untuk membuktikan mereka layak menjadi pemimpin.

Ketua Pengawas merangkap Ketua Pelajar Sdr. Abdullah bin Ahmad mengetuai barisan pemimpin pelajar menerima Watikah Pelantikan yang disampaikan oleh Encik Zainal Abidin bin jailani dengan diiringi Puan Pengetua, Puan Roziah binti Tawil. Ini diikuti oleh barisan Pengawas, Pengawas PSS dan Ketua serta Penolong Ketua Tingkatan.

Ketua Pelajar Sdr. Abdullah bin Ahmad

Ketua Pelajar Sdr. Abdullah bin Ahmad menyampaikan ucapan kepada warga sekolah

Ketua Pelajar Sdr. Abdullah bin Ahmad dalam ucapannya berjanji sebagai ‘Polis Kecil’ mereka akan memastikan semua pelajar dapat mematuhi peraturan sekolah dan menyeru warga sekolah untuk bersatu hati meningkatkan kualiti disiplin. Beliau juga memohon pihak sekolah agar menegur dan membantu mereka dalam menjalankan tugas yang diamanahkan ini. Majlis diakhiri dengan bacaan Ikrar Pemimpin Pelajar dan nyanyian lagu Negaraku.

Comments are closed.