Laporan oleh Siti Nurul Ain Hamzah
Pada hari ahad yang lepas, bertarikh 5 Februari 2017. SMK LKTP Belitong telah mengadakan perasmian program Jom ke Sekolah di Dewan Bestari yang bermula seawal jam 7.30 pagi. Perasmian ini dimulai dengan Perhimpunan Rasmi Mingguan. Selesai perhimpunan mingguan, majlis diteruskan dengan ucapan perpisahan dari Cikgu Ridwan yang berpindah ke SMK Kahang. Cikgu Ridwan telah berkhidmat di sekolah ini selama 8 tahun sebagai guru Pendidikan Khas. Sebagai penghargaan daripada pihak sekolah, Cikgu Ridwan menerima buah tangan sebagai ingatan dari warga sekolah SMKB.
Selanjutnya, majlis diteruskan dengan ucapan En. Zulkapli bin Ahmad membacakan perutusan KPPM Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof. Semua sekolah melancarkan program ini serentak pada 5 dan 6 Februari 2017 yang merupakan program kerjasama KPM dan PDRM. Sekolah sebagai agen sosial pertama bagi membenteras masalah disiplin dari akar umbi agar kemenjadian murid lebih cemerlang. Justeru program ini menuntut komitmen semua pihak dengan azam untuk meningkatkan mutu pendidikan dengan pihak sekolah perlu menerima setiap aduan dan menyelesaikannya melalui saluran yang sesuai. Terdapat 3 objektif utama program Jom Ke Sekolah iaitu; mewujudkan hubungan mesra antara sekolah dengan pegawai perhubungan sekolah, membantu mencegah salahlaku murid dan membugarkan pengunaan Peti Aduan Disiplin. Jadikanlah sekolah tempat menimba ilmu mengasah bakat. “Only the best among you will survive”.
Kalau hendak tahu luasnya padang tanyalah belalang,
Kalau hendak tahu banyaknya telur tanyalah siput,
Kalau hendak tahu luasnya kolam tanyalah katak,
Kalau hendak tahu luasnya lautan tanyalah yu,
Kalau hendak tahu luasnya langit tanyalah helang,
Kalau hendak tahu luasnya hutan tanyalah kijang,
Kalau hendak tahu kerasnya batu tanyalah tukul,
Kalau hendak tahu liatnya tangkai tanyalah jering,
Kalau hendak tahu luasnya ilmu pengetahuan tanyalah guru,
Oleh itu Jom Ke Sekolah.
Seterusnya, ucapan oleh Tuan Pengetua Hjh Mahizan binti Muhammud, antara lain menegaskan pihak sekolah berperanan melaksanakan semua program KPM. Sekolah sebagai agen sosial utama untuk membenteras masalah disiplin, pelajar perlu melatih diri untuk berdisiplin seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengharap keseimbangan dari segi Jasmani, Emosi, Rohani dan Sosial. Tuan Pengetua berharap program ini dapat membantu mencapai KPI kehadiran 95% bagi tahun 2017. Oleh itu setiap kelas perlu pastikan kehadiran 95% setiap bulan.
[Best_Wordpress_Gallery id=”10″ gal_title=”Jom Ke Sekolah”]
Majlis diteruskan lagi dengan ucapan Tuan Inspektor Firdaus bin Md Diah yang menyampaikan perutusan Ketua Polis Negara menyatakan PDRM berbesar hati diberi kepercayaan untuk berkolaborasi bersama KPM untuk menjayakan program ini, sekali gus beliau merasmikan program jom ke sekolah. Sedikit gimik memotong reben sebagai tanda program jom ke sekolah telah dirasmikan. Pihak sekolah juga telah menyediakan sedikit cenderamata kepada inspektor Firdaus di atas kesudian beliau hadir ke sekolah kami.
Program telah tamat pada jam 8.30 pagi. Sedikit santapan pagi disediakan oleh pelajar SKM sebagai penutup majlis kepada tetamu. Alhamdulillah segala yang dirancang oleh pihak sekolah berjalan dengan lancar.
Pelancaran Program Jom Ke Sekolah 5 Februari 2017.