File #0504152
Kempen Minum Air Kosong di SMK LKTP Belitong telah dilancarkan pada 5 April 2015. Tujuan kempen ini adalah untuk menggalakkan warga sekolah sentiasa mengamalkan minum air kosong kerana menurut kajian saintifik ia dapat mengembalikan 20% tenaga kita yang hilang setiap kali mengambil air kosong.
Pn Roziah Tawil selaku pengetua mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian tetamu jemputan Tn Hj Hashim Anang hadir ke sekolah ini dan menyampaikan ceramah antidadah sebentar tadi. Semoga semua pelajar dapat mengambil pengajaran daripada ceramah yang disampaikan dan musuh nombor 1 negara itu dapat dihindarkan dari hidup para pelajar.
Dalam ucapan perasmian, Tn Hj Hashim Anang mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah kerana dapat menjayakan program pada hari ini. Menurutnya lagi, air dan manusia tidak dapat dipisahkan kerana hakikat kejadian manusia itu asalnya dari air. Air amat penting untuk kesihatan kita. Budaya meminum air kosong lebih sinonim dengan masyarakat kaum cina kerana mereka percaya dengan minum air yang banyak boleh membuatkan minda jadi lebih bijak dan badan lebih sihat serta tidak mengantuk. Beliau berharap amalan minum air kosong ini akan menjadikan seluruh warga sekolah lebih sihat.
Seterusnya Tn Hj Hashim Anang melancarkan Kempen Minum Air Kosong dengan memotong riben bunting pelancaran diikuti dengan semua yang hadir minum air kosong bersama-sama sebagai simbolik menyokong kempen ini. Sebagai tanda terima kasih pihak sekolah yang diwakili Puan Pengetua bersama tetamu jemputan bertukar cenderahati.
Bagi melengkapkan kempen ini pihak sekolah menjemput Tn Hj Hashim Anang untuk meletakkan batu asas di tapak Wakaf Syurub yang sedang dibangunkan oleh pihak sekolah hasil sumbangan orang ramai dan warga sekolah bagi menyediakan stesen bekalan air minuman.