Latihan Kebakaran

Laporan oleh Aiman Najla Muchtar

Latihan kebakaran merupakan aktiviti tahunan yang sentiasa dilakukan oleh pihak SMK Belitong dengan kerjasama daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat Kluang. Pada 30 April satu latihan kebakaran telah dijalankan yang melibatkan seluruh warga sekolah. Ianya bertujuan mendidik murid-murid dan warga sekolah agar mengutamakan keselamatan dengan mengambil tindakan yang betul sekiranya berlaku kebakaran.

Latihan ini perlu bagi mempersiapkan murid-murid dan warga sekolah dengan pengetahuan dan tindakan serta langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan atau kebakaran. Sememangnya sesuatu bencana, kemalangan atau musibah boleh berlaku bila-bila masa tanpa diduga. Justeru semua warga sekolah perlu memahami dengan jelas mengenai langkah-langkah yang perlu di ambil sekiranya berlaku kebakaran atau bencana alam serta dapat bertindak secara spontan.

Pegawai bomba menunjukkan cara menggunakan alat pemadam api dan cara memadamkan api. Acara pertunjukkan dijalankan selama 1 jam. Para pelajar juga diberi peluang cuba memadam api menggunakan alat pemadam api.

Mereka juga membuka ruang untuk bertanya soalan berkaitan kebakaran. Banyak ilmu yang telah dikongsi oleh pegawai bomba. Daripada aktiviti ini, pelajar dapat mengetahui banyak perkara dan menambah pengalaman.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kita mestilah sentiasa berhati-hati ketika menggunakan api.  Diharapkan latihan kebakaran ini dapat memberi kesedaran kepada murid-murid dan warga sekolah agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran dan semoga ilmu pengetahuan dapat disampaikan kepada semua warga sekolah agar dapat mengambil langkah-langkah awal bagi mencegah kebakaran daripada berlaku.

Comments are closed.