Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Sekolah

Ahad 16/2/2014: Pihak sekolah melalui Lembaga Pengawas, Pusat Sumber Sekolah dan Unit Bimbingan & Kaunseling telah menganjurkan satu Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Sekolah dengan objektif untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar terpilih serta memperkenalkan kepada pelajar barisan pemimpin pelajar yang terpilih bagi sesi 2014.

Majlis dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat Tuan Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah, Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Kluang merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah bagi SMK LKTP Belitong diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Sdr. Afiq Zuhaily bin Kamsani. Seluruh warga sekolah dan tetamu jemputan seterusnya bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku, lagu Bangsa Johor dan lagu Sekolah dan kemudian membaca Ikrar Rukun Negara yang dipimpin oleh Sdr. Mohammad Hakim Azrai bin Isa diikuti bacaan Ikrar Pelajar oleh Sdr. Abdullah bin Ahmad.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Tuan Pengetua En. Zainudin bin Jaini yang menyatakan ucapan ribuan terima kasih kepada Tuan Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah kerana sudi hadir bagi merasmikan majlis ini. Tahniah juga diucapkan kepada kumpulan pelajar yang dipilih sebagai pengawas, pengwas pss, ketua dan penolong tingkatan. Tuan Pengetua berharap pemimpin pelajar ini akan menjadi contoh yang baik kepada pelajar lain dari segi akademik, sahsiah dan juga kokurikulum.

Penyelaras PSS Pn. Bibi Mariam binti Mohd Mokhtar menyatakan program ini merupakan program tahunan yang anjurkan atas kolaborasi di antara Lembaga Pengawas, Pusat Sumber Sekolah dan Unit Bimbingan & Kaunseling. Matlamat akhirnya dengan pelantikan ini diharap dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif kepada semua pelajar. Pemilihan pemimpin pelajar ini bukanlah secara rawak sebaliknya melalui satu proses temu duga secara lisan, bertulis dan juga praktikal sebelum mereka diberikan watikah pada hari ini. Pn. Bibi Mariam juga menegaskan menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar bukan sekadar memakai baju berwarna-warni yang berbeza dari pelajar lain tetapi perlu menjadi contoh dan lebih utama menghayati Ikrar Pemimpin Pelajar. Pelajar juga diseru untuk sentiasa mengingati tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Majlis diteruskan pula dengan ucapan oleh Tuan Inspektor Mohd Firdaus bin Mohd Diah yang menekankan bahawa pemimpin pelajar yang terpilih ini merupakan mata dan telinga bagi pihak sekolah. Oleh itu, amanah yang perlu digalas adalah satu tanggungjawab dan jangan jadikan pelantikan ini satu perbalahan.

Seterusnya Tuan Inspektor dengan diiringi oleh Tuan Pengetua menyampaikan watikah pelantikan kepada semua pemimpin pelajar yang didahului oleh Ketua Pengawas Sdr. Muhamad Danial Asyraf bin Sazali bersama barisan Pengawas Sekolah, diikuti oleh Ketua Pengawas PSS Sdri. Fatin Hanani binti Jalil bersama barisan Pengawas PSS dan akhir sekali semua Ketua-ketua dan Penolong-penolong Tingkatan.

Ketua Pengawas merangkap Ketua Pelajar bagi sesi 2014 Sdr. Muhamad Danial Asyraf bin Sazali kemudian mengetuai kumpulan pemimpin pelajar ini membacakan Ikrar Pemimpin Pelajar dengan disaksikan oleh guru-guru, pelajar dan warga sekolah. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan majlis bersurai pada jam 9.00 pagi.

Comments are closed.