Laporan Oleh: Nur Mazlela Mazalan, Siti Nor Khalidah Mohd Noh, Nur Suhaila Mazlan, Aiman Najla Muchtar & Noor Farisya Amir
Hari Pertama 21 Mei 2015; Kem Bersepadu Pasukan Badan Beruniform (PBB) dan Jati Diri merupakan program rutin yang di-laksanakan oleh Unit Kokurikulum Sekolah. Program ini merupakan kombinasi pelbagai aktiviti luar dalam bidang pendidikan untuk mewujudkan suatu proses pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh yang melibatkan pelbagai aspek seperti aspek kognitif, afektif, psikomotor dan sosial. Namun pada tahun ini, SMK LKTP Belitong telah mengambil langkah proaktif untuk menganjurkan Kem Bersepadu bertaraf negeri yang melibatkan lima buah sekolah di negeri Johor iaitu SMK LKTP Belitong, SMK Sultan Abdul Jalil,SMK Bandar T6, SMK Taman Universiti dan SMK Dato’ Onn. Terima kasih sekalung budi kepada pihak JPN Johor dan semua pihak yang bertanggungjawab dalam merancang program ini.
TAKLIMAT AWAL PESERTA SMK LKTP BELITONG
11.30 pagi: Semua peserta berkumpul di surau Al-Falah untuk sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengetua SMK LKTP Belitong, Pn Roziah binti Tawil. Dalam taklimatnya Tuan Pengetua memberitahu kem tahun ini menawarkan Sijil Penyertaan Peringkat Negeri dan ini merupakan satu kelebihan untuk pelajar apabila ingin memohon bagi menyambung pelajaran ke institut pengajian tinggi kelak. Selain itu beliau berharap dengan pendedahan aktiviti perkhemahan ini dapat menyemai nilai-nilai murni dalam diri pelajar selain mendapat kemahiran memimpin dan bersosial dengan orang lain. Diharapkan semua pelajar dapat mengutamakan keselamatan dan menjaga kebajikan dengan menunjukkan prestasi yang baik serta mendapat faedah yang berguna dari perkhemahan ini. Seterusnya, para peserta kem menaiki bas masing-masing mengikut kumpulan yang telah dibahagikan, bas mula bergerak ke destinasi Kem Modal Insan, Parit Penghulu, Sungai Rambai Melaka.
Tiga buah bas digunakan untuk pergerakan peserta dari SMK LKTP Belitong, SMK Bandar T6 dan SMK Sultan Abdul Jalil yang mewakili daerah Kluang. Sementara peserta dari SMK Taman Universiti dan SMK Dato’ Onn bergerak terus dari sekolah masing-masing menuju ke Kem Modal Insan Agrotourism Homestay, Parit Penghulu, Sungai Rambai, Melaka.
MAJLIS PENYERAHAN PESERTA
3.00 petang: Semua peserta kem dari sekolah-sekolah yang terlibat tiba di Kem Bina Insan. Semua peserta berkumpul dan menunaikan solat jamak secara berjemaah. Kemudian, para peserta berkumpul di dewan dan mendengar taklimat ringkas sebelum memulakan aktiviti. En. Baharuddin bin Abdul Latif atau dikenali sebagai Coach Bahar. Beliau menyampaikan kata-kata aluan dan menerangkan peraturan yang perlu dipatuhi. Seterusnya En Abdul Hafiz bin Othman sebagai Penyelaras PBB telah diberi tanggungjawab untuk menyerahkan peserta kepada Kem Komandan iaitu Coach Bahar. Ucapannya diakhiri dengan menyerahkan para peserta kepada fasilitator. Bagi menyempurnakan majlis, pemilik homestay Encik Suparman atau Pak Man menyampaikan sepatah dua kata dengan memperkenalkan dirinya kepada peserta. Pak Man menasihati agar semua peserta menjaga kemudahan yang telah disediakan di dalam setiap dorm. Seterusnya fasilitator membahagikan seramai 202 orang peserta kepada 18 kumpulan dengan nama unik berdasarkan nama serangga. Senarai kumpulan tersebut ialah Cengkerik, Kala Jengking, Rama-rama, Nyamuk dan banyak lagi.
PEMBINAAN PENAMPILAN DAN KEYAKINAN DIRI
8.45 malam: Aktiviti ‘’Pembinaan Penampilan dan Keyakinan Diri’’. Intipati aktiviti ini ialah peserta diajar tepuk semangat bagi memberi semangat kepada para peserta. Selain itu, pemilihan Penghulu dan Penghuluwati antara para peserta. Sebulat suara dari para peserta bersetuju memilih Saudara Mohamad Norazim bin Akbal dari SMK Bandar T6 sebagai Penghulu Kem manakala Penghuluwati Kem pula ialah Wahidah binti Mohd Johan dari SMK LKTP Belitong. Seterusnya, aktiviti ‘’Karipap Sardin’’. Aktiviti bertujuan untuk menguji ketangkasan dan kecekapan para peserta. Tidak ketinggalan juga 5 orang peserta berpeluang menunjukkan kehebatan seni mempertahankan diri iaitu silat. Seterusnya, aktiviti dalam kumpulan telah diadakan. Mereka diarahkan untuk membina logo dan sorakan untuk kumpulan masing-masing. Sorakan dipilih mengikut nama kumpulan yang telah ditetapkan oleh fasilitator. Setelah menyiapkan tugasan ini, semua kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka. Mereka perlu menerangkan kelebihan serangga kumpulan mereka. Sementara menunggu waktu minum malam, fasilitator meminta peserta berdiri dan mengikuti segala perbuatannya. Aktiviti ini bertujuan untuk menjadikan peserta sebagai seorang yang fokus dalam menjadi pemimpin.
NIGHT WALK
Selepas kudapan malam, mereka kembali ke dewan pada jam 11.15 malam untuk mendengar taklimat daripada Pak Man untuk aktiviti Night Walk. Beliau menyatakan bahawa jika seseorang pemimpin tidak menghadapi dugaan, ia ibarat padang yang tidak disepuh. Aktiviti ini mempunyai cara permainannya tersendiri iaitu mempunyai ‘’PASSWORD’’ perjalanan yang akan dijalankan antara fasilitator-fasilitator kem ini ‘’PASSWORD’’ yang dimaksudkan ialah ‘’TERANG BULAN’’ semua peserta kem diminta menyebut password tersebut apabila bertemu dengan seseorang ketika berjalan. Apabila dijawab ‘’TENGAH MALAM’’ maka itu adalah fasilitator-fasilitator kem atau rakan-rakan. Jika tidak dijawab maka orang lain yang tidak diketahui asalnya. Kenapa dinamakan TERANG BULAN ? kerana itu merupakan nama asal lagu Negaraku. Setiap perjalanan mempunyai checkpoint yang akan ditanyakan nombor yang telah dibahagikan oleh fasilitator sebelum bergerak tadi. Aktiviti ini bertujuan untuk memberikan keyakinan dalam diri untuk menempuh sesuatu cabaran. Selepas tamat aktiviti ini, semua peserta Kem berkumpul di dewan dan Kem Komandan memberi arahan untuk masuk ke dorm masing-masing bagi merehatkan diri dan diulit mimpi.
Hari Kedua 22 Mei 2015; Pada hari kedua, para peserta sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana perkhemahan. Pihak buletin berharap agar para peserta dapat melakukan segala tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Semangat kerjasama dan setia kawan dalam kalangan kumpulan menjadi teras utama kejayaan pada aktiviti yang dijalankan. Semoga para peserta mendapat input berguna dalam perkhemahan ini. Gunakanlah segala ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh dalam kehidupan
SOLAT & TAZKIRAH SUBUH
Semua peserta berkumpul di surau pada jam 6 pagi. Setelah semua berkumpul, mereka menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Sesudah itu, En. Hanafi telah berkongsi sedikit ilmu pengetahuan kepada peserta kem. Antara intisari ceramah beliau adalah jika seseorang hendak mendapat kejayaan, usaha mestilah tinggi seperti impian yang diingini. Kita perlulah berfikiran positif untuk semua perkara. Selain itu, beliau juga berkongsi info tentang rukuk dapat melancarkan pernafasan. Di samping itu, setiap waktu solat janganlah ditinggalkan. Seterusnya, beliau menyatakan kita perlulah makan buah sebelum mengambil makanan berat. Ini merupakan satu tazkirah pagi untuk semua peserta kem.
AKTIVITI RIADAH PAGI
Pada jam 7.30 pagi, para peserta melakukan riadah. Sebelum itu, para peserta melakukan regangan dan berkawad. Mereka juga melakukan aktiviti ‘karipap sardin’. Memandangkan hujan yang lebat, aktiviti terpaksa ditangguhkan. Para peserta masuk ke bilik untuk tukar pakaian kepada pakaian kering dan peserta diminta berkumpul di dewan makan pada jam 8.40 pagi. Para peserta berkumpul di dewan makan bagi menikmati hidangan sarapan pagi. Pada 9.00 pagi, setelah selesai makan, para peserta menukar pakaian untuk menyambung aktiviti yang tertunda. Peserta dibahagikan 2 kumpulan yang diketuai oleh penghulu dan penghuluwati untuk menjalankan aktiviti menaikkan batang paip menggunakan tali. Setiap ahli kumpulan bekerjasama untuk memenangi aktiviti ini. Aktiviti tamat pada jam 10.40 pagi. Sebagai hiburan, semua peserta menari dengan iringan muzik. Kemudian, mereka membersihkan diri dan berkumpul di dewan.
EXPLORACE
2.30 petang: Semua peserta berkumpul di Dewan bagi menjalankan Aktiviti ‘’Explorace’’. Akitiviti berlangsung di sekitar Kampung Parit Penghulu, melibatkan 18 kumpulan peserta kem. Peserta mendengar taklimat daripada fasilitator Abang Fairuz tentang “check point” aktiviti ini. “check point” dibahagikan mengikut kumpulan. “check point” ini kebanyakannya berada di kawasan perumahan sekitar sini. Dalam taklimat Abang Fairuz, setiap “check point” tidak mempunyai tanda. Oleh itu, semua peserta diminta untuk menahan orang awam dan bertanya mengenai “check point” itu. Peraturan aktiviti ini ialah peserta tidak dibenarkan berjalan di atas jalan tar dan dikehendaki berjalan di atas rumput sahaja. Setiap aktiviti yang tidak disempurnakan ada dendanya tersendiri seperti berkubang dalam lumpur dan sebagainya.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah explorace sungai asid, mencium belut, mengopek buah kelapa menggunakan batu, aktiviti mendirikan paku, aktiviti membuat empat baris menggunakan batu bata, mengira kacang hijau, mengikat dan meleraikan tali di tangan dan aktiviti menimba air menggunakan baldi yang diikat dengan tali. Berikut merupakan “check point” berserta fasilitator yang bertugas. Rumah Hj. Radiman (Abang Afiq), rumah Hjh Mintan (Abang Nabil), rumah Hj. Bakron (Abang Ijam), rumah Hj Sarip (Abang Amy), Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu (Abang Long), rumah Che Nor (Abang Uda), Kolam Ikan En. Hardi (Abang Ijal), rumah Hj. Iskandar (Abang Zaini) dan rumah Mejar Samin (Abang Shidi). Lokasi terakhir mereka berkumpul di Kolam Ikan En. Hardi.
MUHASABAH KEPIMPINAN
Setelah tamatnya aktiviti Explorace pada jam 6.30 petang, semua peserta kembali ke kem untuk membersihkan diri. Mereka berkumpul semula di surau pada jam 7.30 untuk menunaikan solat maghrib dan mendengar tazkirah dari En. Amiruddin bin Abdul Latif tentang kisah kisah Nabi Muhammad, pengorbanan, sejarah Acheh serta iktibar daripada musibah tsunami di Acheh. Sesudah itu, semua peserta menunaikan solat isyak berjemaah sebelum berkumpul semula di dewan untuk slot “Muhasabah Kepimpinan”. Muhasabah Kepimpinan merupakan satu sesi refleksi yang dikendalikan oleh En. Baharudin bin Abd Latif. Bermula dengan menghayati lirik lagu Kasih Sayang dan Warisan, beliau menayangkan beberapa video yang menyentuh hati dan perasaan setiap peserta serta memberikan iktibar yang baik tentang ibu bapa. Penghayatan daripada pada setiap peserta menjadikan suasana di dewan menjadi tenang dan sunyi. Pada jam 11 malam, peserta ke dewan makan untuk menjamu minum malam. Peserta dilepaskan secara bergilir gilir. Peserta kembali ke dewan setelah selesai minum malam.Peserta tidur pada jam 11.45 malam.
Hari Ketiga 23 Mei 2015; 6.00 Pagi- Semua peserta kem menyiapkan diri untuk menunaikan solat Subuh berjemaah di surau berimamkan abang Hanafi. Selesai solat, abang Hanafi memberi sedikit tazkirah. Antara kandungan tazkirah beliau adalah kisah-kisah nabi terdahulu serta solat. Pada jam 7 pagi, peserta kem dibenarkan pulang ke dorm dan bersiap untuk aktiviti riadah pada jam 8.10 pagi. 8.10 Pagi- Peserta berkumpul di dataran. Mereka berhimpun dengan menyanyikan lagu Negaraku dan Bangsa Johor. Tepat jam 8.35 pagi peserta beratur bergerak ke dewan makan untuk menikmati sarapan.
REFLEKSI DIRI & RUMUSAN
9.15 pagi- peserta berkumpul di dewan. Coach Bahar telah berkongsi satu kata-kata semangat dengan peserta iaitu “For things to change, We must change first” dan untuk berjaya perlu berpegang pada “All around only love I see”. Dua perkara yang dilihat ialah siapa kawan dan buku yang dibaca. Kunci kejayaan ialah doa daripada ibu bapa. Sebelum Coach Bahar bergerak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja, beliau mengucapkan kata-kata terakhir dan amanat terakhir kepada semua peserta. bergilir-gilir ke dewan makan untuk minum pagi.
Aktiviti seterusnya perdebatan antara orang kampung dan kontraktor. Mereka dibahagikan kepada 2 kumpulan yang diketuai oleh penghulu dan penghuluwati. Para peserta sibuk membincangkan isi isi perdebatan di dalam kumpulan. Kontraktor diwakili oleh Siti Nurhaliza Samad, Mohammad Izham, Daniel dan Syafik manakala pihak orang kampung diwakili oleh Mohamad Ali Sulaiman, Siti Mahani, Khairuna dan Wahidah. Selepas perbincangan dijalankan, pendebat membentangkan hujah-hujah mereka yang menarik hingga membuatkan suasana sengit. Daripada aktiviti ini, fasilitator membuat kesimpulan bahawa apabila orang di hadapan bercakap atau berhujah, kita mestilah mendengar segala percakapannya dengan baik. Aktiviti ini diakhiri dengan senamrobik yang diketuai oleh abang Hanif. Tepat jam 11.15 pagi, para peserta bergerak ke dewan makan untuk minum pagi.
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP
Majlis Penutup telah disempurnakan pada jam 11.30 pagi. Berikut merupakan petikan ucapan Majlis Perasmian Penutup. Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama lima buah sekolah di negeri Johor, khususnya SMK LKTP Belitong, atas inisiatif yang diambil untuk menggabungkan 3 buah daerah dalam menjayakan perkhemahan yang telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula hari Khamis yang lalu. Ini merupakan satu program yang pertama dan julung kali yang diilhamkan oleh Unit Kokurikulum SMK LKTP Belitong dan dipersetujui dan diluluskan oleh unit Ko-kurikulum JPNJ. Secara peribadinya, saya amat berpuas hati dan bangga dengan komitmen semua pihak yang bersama-sama menjayakan perkhemahan tahun ini sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan perkhemahan ini berjalan dengan lancar.
Salah satu tujuan perkhemahan ini diadakan adalah sebagai aspirasi dan inspirasi jabatan agar matlamat melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing dan berdisiplin tinggi akan terlaksana. Kita hendaklah sentiasa cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi. Jika kita kurang ilmu, mempunyai nilai peribadi yang rendah, dan sering melanggar disiplin sekolah, ia akan membawa kepada keruntuhan negara pada masa hadapan. Oleh itu, peliharalah akhlak dan disiplin anda sepanjang masa bagi menjamin keutuhan dan kecemerlangan anda sebagai pelajar. Segala pengalaman yang anda lalui selama tiga hari di sini adalah untuk tujuan pendidikan dan pembangunan kerjaya sebagai seorang pelajar. Semoga pelbagai ilmu secara teori dan praktikal diperoleh membolehkan kita menjadi warga yang berguna kepada agama, bangsa dan negara di masa akan datang.