Sambutan Aidilfitri 1436H

Laporan Oleh Siti Nor Khalidah Mohd Noh

Pada hari Khamis 13 Ogos 2015, SMK LKTP Belitong telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam, Panitia Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Ibu Bapa PIBG. Majlis bermula pada jam 10.30 dengan semua pelajar berkumpul di Surau Al-Falah bagi mendengar Tazkirah Aidilfitri bertajuk “Adab-adab Menyambut Aidilfitri” yang disampaikan oleh Ustaz Zamri bin Abdullah. Antara inti pati tazkirah tersebut ialah mandi sunat hari raya, sunat menjamah makanan sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya dan mengucapkan tahniah kerana berjaya mengharungi sebulan berpuasa.

Selesai tazkirah diadakan pula majlis ringkas sambutan hari jadi kepada semua pelajar, guru dan kakitangan sekolah yang lahir pada bulan Jun, Julai dan Ogos. Majlis sambutan ini diteruskan dengan bacaan marhaban beramai-ramai di Dataran Budi sebelum semua pelajar, guru dan kakitangan yang ada merasai jamuan pelbagai juadah yang disediakan. Majlis sambutan ini tamat pada jam 1.00 tengah hari.

Comments are closed.