Laporan oleh Siti Nor Khalidah Mohamad Noh
Tarikh 11 Januari 2015 merupakan permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2015. Semua pelajar SMK LKTP Belitong berkumpul di Dataran Budi untuk bersama-sama menyertai perhimpunan sekolah yang pertama bagi sesi tahun 2015. Ramai pelajar memakai pakaian, kasut, dan beg baru. Namun ada juga yang masih memakai keperluan lama kerana keadaannya yang masih elok. Selepas tamat perhimpunan, pelajar tingkatan 1 dan 4 telah diminta untuk berkumpul di dewan bagi bersama-sama memeriahkan lagi majlis orientasi bagi tahun 2015.
Majlis Orientasi Tingkatan 1 & 4 ini dimulakan dengan taklimat program yang disampaikan oleh Guru Kaunselor Sekolah, Pn. Noorhalimaton Duriah Ibrahim menerangkan tentang pengisian program sepanjang dua hari ini. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan taklimat tentang disiplin dan juga tentang e-Disiplin serta kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Buku Peraturan Pelajar. Taklimat ini disampaikan oleh Guru Disiplin En. Akbal Shariff. Pelbagai jenis kesalahan yang diterangkan kepada pelajar tingkatan 1 dan juga peringatan buat pelajar tingkatan 4.
Sesudah itu, Pn. Noorhalimaton menyerahkan majlis kepada En. Zulkapli bin Ahmad yang juga GPK Hal Ehwal Murid untuk menerangkan serba sedikit tentang permasalahan pelajar yang sering berlaku di dalam sekolah. Selepas selesai memberi taklimat, majlis diserahkan kepada Tuan Haji Zainuddin bin Abu Bakar, GPK Kokurikulum untuk menerangkan tentang aktiviti kokurikulum yang berlaku di sekolah. Beliau juga menerangkan tentang buku PJSK. Taklimat ini khusus kepada pelajar tingkatan 1 kerana mereka akan menggunakan buku tersebut untuk mencatat segala aktiviti yang mereka sertai pada tahun 2015 di dalam buku tersebut. Setelah selesai memberi taklimat, pelajar tingkatan 1 dan 4 dibenarkan untuk berehat.
Selepas 20 minit berlalu, pelajar-pelajar diminta berkumpul semula di dalam dewan untuk mendengarkan ceramah daripada penceramah jemputan iaitu Ustaz Ahmad Daud. Ceramah ini mengenai Peranan Solat Dalam Kehidupan Mukmin. Banyak ilmu yang disampaikan untuk semua pelajar dan guru yang terlibat dalam program ini. Selepas ceramah itu tamat, Pn. Roziah Tawil selaku Pengetua SMK LKTP Belitong, GPK1 En. Basir Ibrahim dan semua Guru Mata Pelajaran berkumpul di dewan untuk menerangkan serba sedikit tentang sekolah ini kepada pelajar tingkatan 1 yang baru sahaja memasuki alam persekolahan menengah.