Ahad 23 Februari 2014: Kempen Adab dan Sopan : Budi Bahasa Budaya Kita yang dianjurkan bersama Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan Panitia Pendidikan Sivik & Kewarganegaraan, Pendidikan Khas serta Pusat Sumber Sekolah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang perkembangan diri yang seimbang melalui adab dan tatacara kehidupan bermula dari Jasmani, Emosi, Rohani, Intelektual dan jaringan Sosial (J.E.R.I.S). Kempen ini juga diharap dapat melahirkan warga SMKB yang cemerlang dari pelbagai bidang terutamanya dari segi sahsiah dan akademik.
Tujuan program ini adalah untuk menyemai semula dan menyemarakkan amalan berbudi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni ke dalam setiap jiwa warga sekolah. Objektif program ini ialah;
- Memberi pendedahan kepada pelajar maksud berbudi bahasa dan adab sopan yang betul.
- Memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan dua amalan iaitu sebaran salam dan ucapan terima kasih di samping amalan-amalan yang lain.
Penolong Kanan 1 En. Basir bin Ibrahim menegaskan pelajar mesti menghayati kempen yang dijalankan ini agar menusuk di dalam hati dan dipraktikan. Beliau menambah orang yang berbudi bahasa penampilannya akan kelihatan sangat hebat dan akan disayangi oleh orang lain. Selain itu, orang yang berbudi bahasa itu akan mempunyai 6 ciri seperti, sangat bertimbang rasa terhadap orang lain, sangat bertoleransi, bertolak-ansur terhadap apa jua keadaan, bersopan-santun, ramah-mesra dan tidak mementingkan diri sendiri. En. Basir amat berharap akhirnya warga sekolah ini akan menjadi kelompok yang sentiasa bekerjasama dalam apa juga perkara apabila dapat menghayati kempen ini.
Acara kemuncak pelancaran program ini adalah persembahan nyanyian lagu “Senyum” dan “Budi Bahasa Budaya Kita” oleh En. Asrul Fadhli bin Yailani, Pn. Siti Aishah binti Othman dan Pn. Azlina binti Boko diiringi bersama semua guru dan para pelajar.