Ceramah Antidadah

File #0504151

Pada 5 April 2015 telah diadakan Ceramah Antidadah yang merupakan satu dari aktiviti Bulan Jom Jadi Sihat. Ceramah ini telah disampaikan oleh Tn Hj Hashim Anang yang merupakan EXCO PEMADAM Kebangsaan. Di samping itu pihak PEMADAM Kebangsaan juga mengadakan Pameran Mini yang memberikan info berkenaan dadah tradisional dan dadah sintetik.

Jika satu ketika dahulu komunis merupakan musuh nombor satu negara, kini peranan itu beralih kepada dadah yang menjadi musuh negara. Dadah pembunuh utama, akibat dadah ramai generasi muda mati awal. Oleh itu, generasi muda terutamanya pelajar sekolah ini hendaklah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Dadah ialah bahan PSIKOAKTIF yang mempunyai ciri-ciri berikut;

  • Kesan buruk pada sistem saraf pusat
  • Digunakan bukan untuk tujuan perubatan
  • Diperoleh secara haram
  • Membawa penggantungan fizikal dan psikologi
  • Memberi kesan buruk pada kesihatan dan fungsi sosial

Sejarah dadah di Malaysia bermula dengan candu melalui kedatangan imigran China yang melombong bijih timah. Imigran ini mengambil candu untuk menghilangkan keletihan akibat beban kerja dalam masa yang panjang. Jenis dadah terbahagi kepada dua iaitu jenis Stimulan (perangsang) dan Halusinogen (khayal). Kesemua jenis dadah ini tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Pemulihan Dadah 1963 dan Akta Racun 1952.

Malaysia amat terdedah kepada pengaliran dadah kerana lokasinya yang strategik dikelilingi lautan dan berdekatan dengan Golden Triangle Thailand, Burma, Vietnam yang merupakan pengeluar dadah utama di rantau asia tenggara menjadikan Malaysia negara transit bagi menghantar dadah ke negara lain. Statistik menunjukkan bilangan penagih pada 1970 seramai 711 orang dan meningkat kepada 20,194 orang pada tahun 2011.

Di antara sebab-sebab pengambilan dadah adalah;

  • Pengaruh rakan sebaya
  • Perasaan ingin tahu
  • Tekanan jiwa yang kronik
  • Secara tidak sengaja
  • Masalah keluarga dan tempat tinggal

Tanda-tanda awal kesan pengambilan dadah;

  • Ponteng sekolah/ kerja
  • Cepat meradang
  • Memencilkan diri
  • Mengelak dari bertanggung jawab
  • Mata berkaca-kaca dan berair
  • Kemerosotan paras rupa dan penampilan diri
  • Sentiasa kesempitan wang

Apa yang paling utama bagi membendung gejala penyalahgunaan dadah itu adalah rasa tanggung jawab dalam setiap anggota keluarga dan masyarakat kerana kebahagiaan itu bermula dari rumah. Rumahku Syurgaku.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.