Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Murid & Pelancaran Minggu Anti Dadah

Laporan oleh Tumiah Zakaria

Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Murid dan Pelancaran Minggu Anti Dadah Kebangsaan Peringkat Sekolah Tahun 2017 telah diadakan pada hari Ahad, 19 Februari 2017 bertempat di Dewan Bestari yang dirasmikan oleh Tuan Haji Zainal Abidin B. Jilani, YDP PIBG SMK LKTP Belitong. Seramai 160 orang pemimpin pelajar menerima watikah pelantikan pemimpin murid anjuran bersama Unit Bimbingan Kaunseling, Badan Pengawas dan Unit PSS SMK LKTP Belitong.

Majlis dimulakan perhimpunan rasmi mingguan dengan bacaan doa, nyanyian lagu sekolah, lagu Muafakat Johor, lagu Bangsa Johor diikuti lafaz Ikrar Rukun Negara, Ikrar pelajar dan Ikrar Anti Dadah oleh Saudara Muhammad Aiman Bin Aspan.

Selanjutnya, majlis diteruskan dengan ucapan En Zulkapli Bin Ahmad, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, yang membacakan perutusan Minggu Anti Dadah kebangsaan 2017 sempena sambutan Minggu Anti Dadah kebangsaan yang disambut serentak oleh semua sekolah dengan matlamat Sekolah Bebas Dadah yang bertemakan “Sayangi Dirimu”. Intisari ucapan adalah memberi kesedaran kepada para pelajar akan bahaya penyalahgunaan dadah terutama dadah sintetik yang memberi impak yang sangat buruk terhadap otak manusia. Para pelajar disarankan agar bijak membuat keputusan dan sentiasa berfikiran waras.

Sementara itu, Tuan Pengetua, Hajah Mahizan Binti Muhammud menegaskan para pemimpin pelajar bertanggungjawab membantu guru-guru dalam bidang masing-masing dengan mengenepikan sikap bagai “Pahat dengan Penukul”. Beliau juga mengingatkan semua pelajar agar berfikir sebelum melakukan sesuatu perkara tentang penyalahgunaan dadah supaya tidak menyesal kemudian hari ibarat “Sudah terhantuk baru terngadah”.

Seterusnya, ucapan perasmian oleh Tuan Haji Zainal Abidin B. Jilani, YDP PIBG SMK LKTP Belitong menyarankan setiap pemimpin pelajar perlu mempamerkan sikap yang baik kepada rakan-rakan yang lain agar tidak diperlekehkan sesama mereka. Amaran daripada beliau iaitu tindakan tegas akan diambil kepada pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Majlis disempurnakan dengan penyampaian watikah pelantikan pemimpin murid 2017 oleh YDP PIBG kepada Saudara Muhammad Aiman Bin Aspan sebagai Ketua Pengawas SMK LKTP Belitong 2017, Saudari Alya Nuruzzatti Binti Anuar sebagai Penolong Ketua Pengawas dan kepada para pemimpin pelajar yang lain. Pihak sekolah merakam penghargaan atas kesudian Tuan Haji Zainal Abidin meluangkan masa menghadiri majlis ini. Pada Jam 9.15 pagi, majlis telah tamat dengan sempurna. Alhamdulillah.

Bookmark the permalink.

Comments are closed