Sambutan Maulidur Rasul 1438H

Laporan oleh  Anis Izzati Mohamed Sallehudin

15 Februari 2017/ 18 Jamadil Awal 1438H: Majlis Sambutan Maulidur Rasul merupakan natijah daripada perasaan kecintaan terhadap Rasulullah SAW Begitu juga perasaan taat, ingin mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda, sebagaimana Allah bangga terhadap baginda dengan memuji baginda di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia” (al-Qalam : 4). Pelaksanaan majlis ini bertujuan untuk memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad SAW di samping menghayati sirah hidup baginda. Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada kita untuk mencontohi akhlak dan budi pekerti mulia serta memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.

Sambutan Maulidur Rasul yang dijalankan ini melibatkan 5 buah sekolah di sekitar kawasan ini iaitu SMK LKTP Belitong, SK Belitong, SK Bukit Tongkat, Sek. Agama Belitong, Sek. Agama Bukit Tongkat. Majlis berlangsung dari jam 7.30 sehingga 11.00 pagi di Stadium Mini SMK LKTP Belitong.

Atur cara majlis dimulakan dengan selawat ke atas jujungan besar Nabi Muhammad SAW yang di pimpin oleh Ustaz Fauzan bin Yakob dari SK Bukit Tongkat. Sejurus kemudian majlis diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh yang berbahagia Imam Muda Muhammad Nasir bin Yaakob. Dalam ceramah beliau telah menyatakan tentang kelebihan jika berselawat ke atas Nabi Muhammad dan beliau juga telah mengajukan soalan-soalan kepada para pelajar.

Selepas ceramah selesai, semua hadirin dihidangkan dengan jamuan makan untuk pelajar perempuan di surau manakala pelajar lelaki di dewan. Majlis bersurai. Dengan adanya program seperti ini diharapkan para pelajar akan dapat lebih mengenali dan mencintai Rasulullah SAW, beramal dengan sunnah Rasulullah SAW dan sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW. In Sha Allah.

Bookmark the permalink.

Comments are closed