Sambutan Hari Guru 2015

Laporan oleh Nur Suhaila Mazlan

Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak. Itulah tema Hari Guru 2015 yang telah disambut di peringkat SMK LKTP Belitong pada hari Ahad 17 Mei 2015. Majlis sambutan bermula dengan para pelajar berkumpul di tapak perhimpunan pada jam 7.15 pagi untuk bacaan Surah Al-Ma’thurat yang dipimpin oleh Cikgu Surdama, mantan guru kaunselor sekolah sebelum pelajar bergerak ke Stadium Mini bagi acara sambutan rasmi.

Dari kiri: Cikgu Aishah, Cikgu Rahmat, Cikgu Rosli & Cikgu Mariana

Dengan tema “Kembali Ke Sekolah” guru-guru mengenakan pakaian seragam sekolah bergerak masuk ke Stadium Mini diiringi dengan paluan kompang. Setiap guru diiringi seorang pengawas bertugas dihadiahkan cenderamata dan diiringi naik ke Astaka Stadium. Majlis rasmi ini dimulakan dengan nyanyian lagu Bangsa Johor, lagu sekolah dan dimuliakan dengan bacaan Surah Yasin serta bacaan doa hari guru yang dipimpin oleh pemimpin pelajar.

Dari atas; Cikgu Rosli, Sdr Abdullah, En. Sahran & Gikgu Basir

Cikgu Rosli Mamat selaku wakil guru memulakan majlis ucapan dengan mengajak semua guru untuk kembali mengimbau kenangan waktu sekolah. Katanya, di Hari Guru inilah masanya untuk guru bermuhasabah diri dalam mencari inspirasi bagi meningkatkan prestasi dalam mendidik anak-anak sesuai dengan tema Guru: membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.

Manakala Saudara Abdullah Ahmad yang mewakili pelajar, mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima Kasih kepada guru-guru atas segala pengorbanan dan ilmu serta didikan yang diberikan. Semoga SMK LKTP Belitong ini akan terus cemerlang dan dapat mencapai visi sekolah dalam melahirkan modal insan yang berdikari, berwaja diri dan berjasa kepada negara.

Sambutan kali ini diserikan lagi dengan kehadiran wakil PIBG En. Shahran Harun yang menyampaikan ucapan Hari Guru dan mendeklamasikan sebuah sajak yang ditujukan buat guru-guru SMKB. Ini diikuti ucapan oleh Cikgu Basir Ibrahim selaku Penolong Kanan Pentadbiran yang menyampaikan Perutusan Hari Guru 2015 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Sri Dr. Khair bin Mohamad Yusof.

Beliau menyatakan bahawa tema hari guru tahun ini sangat bertepatan dengan dunia pendidikan pada abad ke-21 iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan tetapi insan yang berguna dan warganegara yang baik, yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara bangsa yang bersatu padu, berdaulat serta selaras sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pn. Roziah Tawil, Pengetua SMKB

Pn. Roziah Tawil, Pengetua SMKB

Tuan Pengetua, Pn. Roziah Tawil dalam merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah ini tidak lupa untuk menggesa semua guru bersatu hati dalam mendidik anak-anak. Kepada semua pelajar pula, diingatkan untuk mencapai tahap kejayaan akademik yang paling tinggi, sambunglah belajar tidak kira di mana. Ini kerana jika kita ada harta, harta itu boleh susut nilainya tetapi dengan ilmu ianya dapat mendorong diri kita menjadi lebih cemerlang di masa akan datang. Majlis disempurnakan lagi dengan bacaan Ikrar Guru Malaysia yang diketuai oleh Cikgu Sare’at Darwan dan nyanyian lagu Guru Malaysia serta sebuah lagu yang bertajuk “Biar-ku Menjadi Lilin”.

Perhimpunan Rasmi “Kembali Ke Sekolah”

Bagi mengenang memori persekolahan, satu aktiviti “sketsa” telah dilaksanakan oleh pelajar untuk para guru. Aktiviti ini dijalankan seperti dalam perhimpunan rasmi mingguan sekolah, di sini guru-guru memegang watak pelajar dan pelajar memegang watak guru. Seperti biasa dalam perhimpunan pelajar (guru) perlu beratur mengikut tingkatan. Bacaan doa dipimpin oleh pelajar bertugas (Ustaz Zamri Abdullah), diikuti nyanyian lagu-lagu rasmi dan bacaan ikrar pula dipimpin oleh pelajar bertugas (Cikgu Asrul Fadhli dan Cikgu Rahmat Yusof), manakala laporan minggu lalu oleh guru bertugas dibacakan oleh Cikgu (Saudari Yusnida Aqilah).

Kemudian perhimpunan ini diserahkan kepada guru panitia Bahasa Inggeris (Saudara Muhamad Faizul) untuk menjalankan program Speaking and Listening (S&L). Aktiviti ini sangat menghiburkan kerana terdapat elemen jenaka spontan yang ditunjukkan. Semoga dengan aktiviti ini para guru dapat merasai dan mengimbas kembali zaman persekolahan mereka pada waktu dahulu.

Kumpulan Tari Seri Mastuli bersama Sir M mempersembahkan sebuah tarian Sarawak “Ngajat Tampi”

Kemeriahan majlis sambutan Hari Guru diserikan lagi dengan persembahan nyanyian lagu yang bertajuk “Let It Go” oleh Saudara Kembar Farid & Fakri. Pelajar kelas 3 Amal pula membuat persembahan nyanyian dan membuat kejutan untuk guru kelas mereka sempena Hari Guru. Selepas itu kelas 5 Amal mempersembahkan dua buah lagu yang digubah sendiri sebelum Cikgu Asrul Fadhli mempersembahkan lagu “Pergi” dan bersama Cikgu Fauzi Kasim menyanyikan lagu “Keroncong Untuk Ana” dengan diiringi petikan gitar.

Sukaneka: Dam Ular Ajaib

Aktiviti Hari Guru kemudiannya diteruskan dengan acara sukaneka dijalankan bermula pada jam 11.00 pagi dalam suasana yang meriah dengan sokongan dari guru-guru dan pelajar. Acara yang dipertandingkan dan pemenangnya adalah seperi berikut;

Acara Pemenang
Dam Ular Ajaib Cikgu Noriah Ali
Badminton Kain Pelekat Cikgu Asrul & Cikgu Rosli
Boling Botol Cikgu Basir,Cikgu Adnan & Cikgu Rahmat
Congkak Cikgu Noor Halimaton
Batu Seremban Cikgu Siti Mariana
Biji Saga Ustazah Azzyean
Kayu Statik Cikgu Nursyidah

Acara penyampaian Anugerah Khas Guru berlangsung dalam suasana yang tenang dan ceria. Berikut senarai anugerah dan pemenangnya;

Anugerah Guru Lelaki Guru Perempuan
Guru Paling Bergaya Cikgu Mustafa Kamal Guru Yussliana Yussuf
Guru Paling Ceria Cikgu Akbal Shariff Cikgu Siti Mariana Ishak
Guru Paling Kreatif Cikgu Rosli Mamat Cikgu Sabariah Mamat
Guru Paling Sporting Cikgu Abd Hafiz Othman Cikgu Siti Aishah Othman

Majlis sambutan hari guru berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan penyampaian cenderahati daripada pelajar-pelajar kepada para guru sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas segala ilmu yang dicurahkan. Sambutan Hari Guru amat bermakna kepada semua warga pendidik. Hari Guru bukan sahaja meraikan jasa dan pengorbanan guru-guru, tetapi juga menjadi dorongan kepada semua warga pendidik untuk terus memperjuangkan dan meningkatkan kualiti mengajar. Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.

Bookmark the permalink.

Comments are closed