Program Memantapkan Iman Membentuk Sahsiah

Laporan oleh Aiman Najla Muchtar

Kem Memantapkan Iman Membentuk Sahsiah telah berlangsung pada 4 & 5 April 2014. Kem ini dianjurkan oleh Unit Bimbingan dan Kaunseling, Kelab Kaunseling & PRS, Kelab Pendidikan Islam dan Panitia Pendidikan Islam bersama fasilitator dari ILHAMURNI Training and Consultancy.

Seramai 65 orang pelajar dan 6 orang fasilitator telah terlibat menyertai kem tersebut. Objektif Kem Memantapkan Iman Membentuk Sahsiah ialah untuk mendidik pelajar supaya lebih berdisiplin, melahirkan insan yang mempunyai sahsiah terpuji, menyedarkan pelajar betapa pentingnya agama Islam dalam kehidupan dan menghargai kedua ibu bapa serta guru-guru. Diharapkan matlamat dan mesej yang disampaikan oleh para fasilitator memberi kesan yang baik dalam diri para peserta.

Pendaftaran bermula jam 2.30 petang, peserta berkumpul di dalam dewan untuk mendengar taklimat mengenai kem tersebut. Jam 3.40 hingga 6.00 peserta kem mendengar ceramah mengenai mandi wajib yang disampaikan oleh Ustazah Nor Azzyean Nadia Abu. Seterusnya, Ustaz Rohaizat Mion pula menyampaikan tazkirah berkenaan dengan sahsiah diri. Pelbagai ilmu yang diperoleh daripada mereka. Apabila selesai ceramah tersebut, peserta mandi, makan dan solat Maghrib & Isyak berjemaah di Surau.

Aktiviti diteruskan pada jam 9.00 malam, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Aktiviti pada malam itu sangat menarik antaranya, tepuk semangat, tepuk loceng pintu, “Game Boom” dan pelbagai lagi. Fasilitator juga menyampaikan ceramah berkenaan sahsiah. Banyak ilmu yang diperolehi daripada para fasi pada malam itu boleh dimanfaatkan oleh para peserta program untuk membentuk jati diri dan kemantapan iman.

5 April 2014. Para peserta mandi dan solat subuh berjemaah dan mendengar tazkirah daripada Cikgu Sudarma Bin Dugal. Sekitar jam 7.15 pagi semua peserta bergerak ke Stadium Mini SMK Belitong bersama Pak Naz bagi menjalankan senaman. Aktiviti seterusnya yang dilakukan fasilitator ialah ceramah dan game yang menarik antaranya ialah S.Y.A.B.A.S dan menjawab soalan matematik. Ceramah yang disampaikan sangat menarik dan bagus untuk para peserta. Antara petikan kata dari ceramah yang disampaikan ialah “Terlalu banyak jasa dan pengorbanan yang dilalukan oleh kedua ibu bapa”. Secara tidak langsung menyedarkan para peserta bahawa dalam setiap perkara yang dilakukan, hendaklah sentiasa menghormati dan menghargai ibu-bapa kita.

Seminar Keibubapaan bermula pada jam 10.00 pagi di Surau, manakala peserta di makmal komputer mendengar ceramah dan pesanan dari fasi. Kem ini tamat pada jam 1.30 petang dan peserta pulang bersama-sama ibu-bapa masing- masing.

Bookmark the permalink.

Comments are closed