Perkhemahan Bersepadu PBB

Laporan oleh Team Buletin Saujana

Perkhemahan Bersepadu Pasukan Badan Beruniform (PBB) merupakan program rutin yang dilaksanakan oleh Unit Kokurikulum. Program ini merupakan kombinasi pelbagai aktiviti luar dalam bidang pendidikan untuk mewujudkan suatu proses pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh yang melibatkan aspek kognitif, afektif, psikomotor dan sosial. Namun pada tahun ini, pelaksanaan program ini agak berbeza berbanding tahun-tahun yang lepas kerana melibatkan sekolah-sekolah lain di daerah Kluang. Terima kasih sekalung budi kepada pihak PPD dan pihak yang sama-sama bertanggungjawab dalam merancang program ini.

HARI PERTAMA

x

Taklimat awal perkhemahan telah disampaikan oleh Penyelaras Program iaitu En Abd Hafiz bin Othman. Beliau telah menyampaikan beberapa perkara berkaitan peraturan perkhemahan, keperluan yang perlu dibawa dan penyerahan borang akuan kebenaran penjaga. T-shirt perkhemahan juga diedarkan pada hari ini untuk dipakai semasa perkhemahan berlangsung. Para peserta kelihatan begitu teruja dan bersemangat untuk menyertai perkhemahan yang julung-julung kali diadakan dengan melibatkan empat buah sekolah di daerah Kluang. En Hafiz berharap agar perjalanan perkhemahan ini dapat dijalankan dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

11.30 pagi : Semua peserta mendengar taklimat di Surau Al-Falah yang telah disampaikan oleh Pengetua SMK LKTP Belitong, Pn Roziah bt Tawil. Beliau berpesan agar semua peserta menjaga diri, berdisiplin dan mematuhi peraturan. Seterusnya, para peserta kem menaiki bas masing-masing mengikut kumpulan yang telah dibahagikan. Setelah doa dibacakan, bas mula bergerak ke destinasi iaitu Kem Lambaian Danau, Bukit Cincin Jasin, Melaka.

a

2.20 petang : Peserta kem tiba di Kem Lambaian Danau. Para peserta dikehendaki berkumpul dan seterusnya menunaikan solat jamak secara berjemaah. Setelah itu, semua peserta dikumpulkan mengikut sekolah masing-masing untuk menerima taklimat ringkas dan majlis penyerahan peserta. Tuan Haji Zainudin bin Abu Bakar selaku PK Kokurikulum SMK LKTP Belitong, merangkap Timbalan Pengerusi Program telah diberikan tanggungjawab untuk menyerahkan semua peserta kem kepada Kem Komandan, Encik Rosli bin Kamarudin. Daripada 293 peserta yang terlibat, 122 orang peserta lelaki manakala 171 orang peserta perempuan. Kemudian, setelah doa dibacakan sebelum sesi taklimat beliau. Semua peserta diminta berdiri tegak untuk menyanyikan lagu “Negaraku”. Setelah itu, Kem Komandan yang juga dikenali sebagai Pak Let memberi penerangan berkenaan peraturan dan keselamatan yang perlu dipatuhi sepanjang kem ini berlangsung. Pak Let amat mementingkan ketepatan masa dalam semua aktiviti yang akan dijalankan. Sebanyak 11 fasilitator yang terlibat dalam menjayakan kem kali ini.

c

3.45 petang : Semua peserta dikehendaki memasang khemah di tempat yang telah disediakan. Peserta dibantu oleh fasilitator yang telah ditugaskan. Para peserta mendapat ilmu yang berguna terutamanya dalam teknik memasang khemah yang betul dan cepat. Setelah itu, para peserta dijamu dengan minum petang.

d

Selepas minum petang, semua peserta dikehendaki menjalankan aktiviti “Water Confidence”. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada semua peserta dalam teknik mengapungkan badan semasa berada di dalam air. Teknik ini perlu sebagai persediaan untuk aktiviti berkayak dan berakit yang akan dijalankan pada hari esok. Ramai peserta yang agak takut untuk melakukan aktiviti ini terutamanya peserta perempuan kerana kurang berkeyakinan. Namun, setelah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada para fasilitator, mereka dapat melakukan aktiviti ini dengan baik.

6.30 petang : Semua peserta dikehendaki membersihkan diri dan bersedia untuk makan malam dan solat jamak secara berjemaah. Setelah selesai solat, tazkirah yang bertajuk “Peranan anak terhadap ibu bapa dan masyarakat” telah disampaikan oleh Ustaz Haji Ariff. Selepas itu, peserta disajikan dengan juadah makan malam yang amat menyelerakan iaitu nasi, sup ayam dan sayur kubis goreng.

e

9.00 malam : Peserta kem telah dibahagikan kepada 11 kumpulan. Pembahagian kumpulan adalah secara rawak. Program “Ice Breaking” dijalankan bagi mengeratkan lagi perhubungan antara mereka. Tujuan utama aktiviti ini adalah supaya mereka dapat mengenali antara satu dengan lain bagi memudahkan mereka bekerjasama dalam menjalankan program seterusnya. Aktiviti ini amat menarik dan menghiburkan. Antara aktivitinya adalah mencipta nama kumpulan dan menghasilkan sorakan kumpulan.

11.30 malam : Para peserta menjalani aktiviti berjalan malam atau “night walk”. Aktiviti ini dijalankan bagi meningkatkan tahap keberanian dalam diri peserta. Para peserta dikumpulkan di Dataran Insan dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan B. Kedua-dua kumpulan akan melalui trek yang berbeza di dalam hutan. Peserta dilepaskan berdua-dua untuk menelusuri trek. Para fasilitator bertindak sebagai “pengacau” semasa aktiviti ini dijalankan. Mereka diberi tanggungjawab untuk menunjuk arah dan memastikan peserta selamat sampai ke destinasi. Aktiviti ini terpaksa dihentikan apabila hujan lebat mula membasahi bumi. Para peserta bergegas untuk mengambil beg masing-masing di dalam khemah dan meletakkannya di dewan untuk mengelakkan pakaian dan barang-barang mereka basah. Peserta dikehendaki minum malam dan dibenarkan tidur kira-kira jam 1.00 pagi.

HARI KEDUA

Pada hari kedua ini, para peserta sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana perkhemahan. Para peserta juga sentiasa bersedia dengan segala tugasan dan cabaran yang diberikan. Pihak buletin berharap agar para peserta dapat melakukan segala tugasan yang diberikan dengan bersungguh-sungguh. Semangat kerjasama dan setia kawan dalam kalangan kumpulan menjadi teras utama kejayaan pada setiap pertandingan yang dianjurkan. Semoga para peserta mendapat input berguna dalam perkhemahan ini. Gunakanlah segala ilmu dan pengalaman berharga yang diperoleh dalam kehidupan.

4.00 pagi : Semua peserta kem dikejutkan untuk membersihkan diri dan bersiap-siap menunaikan solat subuh secara berjemaah. Semua peserta kelihatan letih dan masih mengantuk kerana tidak cukup tidur. Namun, itu bukannya alasan kepada para peserta untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam. Tepat jam 6.00 pagi, para peserta menunaikan solat subuh berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Sudarma bin Dugal. Setelah berwirid dan bertahmid, para peserta membaca surah yasin yang dipimpin oleh Saudara Azlisham bin Zali.

f

7.00 pagi : para peserta menjalani riadah bersama dengan Pak Let iaitu “Senaman Zapin Ayam”. Senaman ini dijalankan mengikut kumpulan masing-masing. Para peserta pada mulanya kurang senang dengan pelaksanaan senaman ini. Mereka melakukannya dengan tidak sepenuh hati dan tidak serentak. Setelah didenda oleh Pak Let, akhirnya para peserta dapat melakukannya dengan baik. Setelah itu, para peserta dijamu dengan nasi goreng, mi goreng dan minum air teh panas.

g

h

8.45 pagi : Satu pertandingan “Danau Race” dijalankan antara kumpulan. Selepas para peserta menerima taklimat daripada para fasilitator berkenaan dengan pembinaan rakit, setiap kumpulan dikehendaki membina rakit sendiri berdasarkan panduan yang diberikan oleh fasilitator. Pembinaan rakit mengambil masa selama satu jam. Setiap kumpulan berjaya menghasilkan rakit yang kukuh untuk perlumbaan nanti. Pada jam 9.50 pagi, rakit yang telah siap diuji di permukaan tasik. Setelah Kem Komandan berpuas hati, perlumbaan pun dilaksanakan. Perlumbaan yang memakan masa selama dua jam ini memberikan impak yang besar dalam diri para peserta. Pertandingan ini menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta. Perlumbaannya juga amat sengit. Pertandingan Idimenangi oleh kumpulan merah jambu, diikuti oleh kumpulan biru dan tempat ketiga disandang oleh kumpulan hijau muda. Setelah semuanya tamat, para peserta diminta meleraikan kembali rakit yang telah dibina dan bersiap sedia untuk makan tengah hari dan solat.

i

j

Aktiviti “Jungle Alive” merupakan aktiviti lasak yang dilakukan oleh para peserta perkhemahan. Aktiviti ini bertujuan untuk menanam sifat kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan. Terdapat beberapa tugasan dan cabaran yang perlu dilalui oleh para peserta. Antara cabarannya adalah peserta dikehendaki berlumba mendayung menggunakan tangan dengan hanya berbekalkan jaket keselamatan dan pelampung. Para peserta juga terpaksa mengharungi lumpur dan selut. Ada dalam kalangan peserta yang sudah mulai berputus asa, namun atas dorongan dan bimbingan fasilitator, tahap keyakinan mereka pulih kembali. Ahli kumpulan bersorak, memberikan sokongan dengan penuh semangat. Aktiviti ini dimenangi oleh Pasukan Ya Beda Bedu (Kumpulan Coklat).

8.50 malam : Para peserta dikumpulkan di dalam dewan untuk aktiviti Night Walk 2 sebagai menggantikan aktiviti yang tertangguh semalam. Para peserta berjalan secara berkumpulan mengikut trek yang telah ditetapkan. Aktiviti ini memupuk keberanian dan menguatkan semangat dalam diri peserta-peserta kem. Seperti semalam, fasilitator bertindak sebagai “pengacau”, namun para peserta telah bersedia untuk menghadapi “gangguan” dari pihak fasilitator. Para peserta kelihatan seronok menjalankan aktiviti ini walaupun keletihan terlihat di wajah mereka. Setelah tamat aktiviti, peserta diberi minum malam dan dibenarkan tidur.

HARI KETIGA

Ini merupakan hari terakhir Perkhemahan Bersepadu Pasukan Badan beruniform antara sekolah-sekolah daerah Kluang bagi tahun 2014. Tahniah kepada semua peserta kerana dapat menjalankan perkhemahan ini degan jayanya tanpa berlakunya kemalangan dan bencana. Pengalaman berharga yang diperoleh pastinya akan dijadikan kenangan kepada para peserta terutamanya kepada pelajar tingkatan 5 apabila meninggalkan alam sekolah. Pihak buletin mengharapkan agar program yang baik ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana memberi impak yang positif terhadap sikap dan keyakinan pelajar.

Seperti hari-hari sebelumnya, semua peserta yang beragama Islam akan menunaikan solat subuh secara berjemaah. Setelah itu, semua peserta mendengar sedikit tazkirah daripada Ustaz Sudarma bin Dugal sebelum menjalani senaman pagi yang dikendalikan oleh para fasilitator. Para peserta kelihatan bersemangat pada pagi terakhir perkhemahan bersepadu tahun 2014 ini. Setelah selesai senaman pagi, para peserta bersarapan pagi sebelum menjalankan aktiviti pada hari ini.

k

l

Aktiviti yang terakhir untuk Perkhemahan Bersepadu pada kali ini adalah aktiviti “One Team One Spirit (OTOS). Sebelum aktiviti dijalankan, semua peserta menerima taklimat dan penerangan daripada fasilitator tentang cara melakukan aktiviti ini dan juga faktor keselamatan semasa berada di dalam tasik. Setelah itu, setiap kumpulan dikehendaki mengambil 8 buah pelampung dan jaket keselamatan. Semua peserta terus menuju ke tasik mengikut kumpulan masing-masing. Setiap peserta dikehendaki berlumba menuju dan mengelilingi bendera berwarna hijau sepanjang 800 meter. Dengan semangat kesukanan yang tinggi, para peserta berlumba-lumba untuk mendahului antara satu sama lain. Mereka menggunakan kemahiran yang telah di ajar oleh para fasilitator pada aktiviti “water confidence”. Kumpulan Yippi telah berjaya menjuarai aktiviti ini.

z

Majlis penutup telah diadakan pada jam 12.00 tengah hari. Majlis dimulakan dengan bacaan doa. Encik Rosli bin Kamarudin selaku Kem Komandan, memulakan majlis dengan memberi ucapannya diikuti oleh Penganjur Program, Pn Roziah bt Tawil Pengetua SMK LKTP Belitong. Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan Lambaian Danau, pihak PPD, sekolah-sekolah yang terlibat dan pihak polis IPD Kluang. Ucapan Perasmian penutup telah disempurnakan oleh wakil PPD En Muhamad Hafidz bin Nasiri Penolong PPD Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya Murid. Beliau mengucapkan tahniah atas usaha menganjurkan program yang penuh bermakna. Beliau berharap segala kelemahan dan masalah yang timbul dapat diatasi pada masa akan datang. Seterusnya, penyampaian cenderahati kepada Kem Komandan dan En Muhamad Hafidz bin Nasiri. Diharapkan program ini dapat mengeratkan lagi tali silaturahmi dalam kalangan guru dan pelajar daerah Kluang serta dapat diteruskan pada masa akan datang.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.