Minggu Antidadah Peringkat Sekolah

File #080315

Minggu Antidadah merupakan satu platform bagi menebar informasi tentang bahaya ancaman dadah kepada pelajar-pelajar sekolah. Masalah dadah ini bukanlah satu perkara baharu. Dadah merupakan satu cabaran yang amat besar dan boleh melumpuhkan kesejahteraan hidup.

Matlamat program ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mengamalkan gaya hidup sihat dan bersih dadah. Objektifnya;

  • Memberi pendedahan kepada pelajar tentang bahaya dadah.
  • Menanam sikap benci kepada dadah dalam diri pelajar.
  • Mewujudkan gaya hidup sihat tanpa dadah.
  • Menyebarkan kefahaman bahawa dadah merupakan punca kerosakan akhlak remaja.

Penolong Kanan Pentadbiran En. Basir Ibrahim sewaktu membacakan Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, mengingatkan semua warga sekolah bahawa Minggu Antidadah disambut pada tarikh 19 Februari setiap tahun bermula pada 1983. Antara kandungan perutusan tersebut menjelaskan bahawa dadah itu menghancurkan kesejahteraan hidup tanpa mengira kaum, agama, usia atau jantina.

Minggu Antidadah menggariskan 4 pendekatan untuk mencapai matlamat sekolah bebas dadah dengan tema gaya hidup sihat melalui bidang kurikulum, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Melalui kurikulum, pelajar akan diberikan info 5 minit berkaitan dadah setiap pagi sebelum bermulanya sesi P&P, ucapan di tapak perhimpunan dan juga aktiviti antidadah di dalam bilik darjah. Dalam bidang kokurikulum pula pelajar digalakkan bergiat aktif dalam aktiviti PBB, Kelab & Persatuan bagi mengisi masa mereka dengan perkara-perkara yang berfaedah.

Pendekatan sahsiah menggalakkan para guru dan pelajar untuk mengisi keperluan rohani melalui pendidikan-pendidikan yang bersifat kerohanian, menerima sebaran maklumat tentang bahaya dadah dari Unit Bimbingan & Kaunseling serta sentiasa menjaga disiplin diri walau di mana kita berada. Dalam pendekatan kepimpinan pula, seluruh warga sekolah hendaklah bersatu padu dalam menangani kes-kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan warga sekolah dan sekitarnya.

Statistik menunjukkan golongan paling ramai terlibat dengan dadah berusia dalam lingkungan 19-39 tahun. Bagaimanapun trend ini mula berubah baru-baru ini apabila pelajar seawal usia 13 tahun didapati telah terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh En. Basir Ibrahim dengan memotong reben pada bunting pelancaran Minggu Antidadah Peringkat Sekolah diikuti bacaan ikrar Minggu Antidadah yang dipimpin oleh ketua pelajar Sdr. Abdullah Ahmad. Majlis ditutup dengan nyanyian lagu Negaraku.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.