Mesyuarat Agung PIBG Ke-19

File #260315

Pada hari Khamis 26 Mac 2015 pihak sekolah bersama PIBG telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-19. Para ibu bapa dan penjaga yang hadir telah mula mendaftar masuk bermula jam 2.00 petang. Tetamu jemputan bagi merasmikan mesyuarat kali ini diwakili oleh Encik Mohd Daud Salim, Setiausaha UMNO Bahagian Sembrong yang hadir tepat pada jam 2.20 petang disambut dengan paluan kompang oleh kumpulan kompang SMKB.

Pengacara majlis Sir Mustafa Kamal Yahya mengalu-alukan kedatangan tetamu jemputan masuk ke Dewan Bestari dengan semua yang hadir bangun meraikannya. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zamri Abdullah bagi memohon keberkatan dan kemudahan perjalanan majlis.

Majlis ucapan dimulakan dengan ucapan dari Pengetua Puan Roziah Tawil yang membentang pencapaian sekolah bagi tahun 2014 dan sasaran yang ditetapkan untuk tahun 2015 merangkumi 3 cabang kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal murid. Puan Pengetua amat berharap dengan kerjasama sama erat di antara pihak sekolah dan ibu bapa akan dapat meletakkan sekolah di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 10 sekolah terbaik di daerah Kluang dan 100 terbaik negeri Johor dalam pencapaian akademik peringkat SPM 2015.

YDP PIBG En Zainal Abidin Jelani sewaktu berucap menggesa semua ibu bapa dan penjaga untuk menyumbang tenaga dan buah fikiran bagi meningkatkan kemajuan sekolah demi kepentingan anak-anak. Beliau berterima kasih atas kerjasama dan kehadiran ibu bapa pada hari ini yang amat menggalakkan sekali. Semoga selepas ini penglibatan ibu bapa dalam program-program sekolah akan sentiasa mendapat sambutan seperti ini.

Majlis dirasmikan pada jam 3.40 petang oleh Encik Mohd Daud Salim, Setiausaha PERKEMBAR Bahagian Sembrong. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap sokongan ibu bapa amat diperlukan dalam menjayakan transformasi sektor pendidikan dan PIBG ini merupakan perantara pihak sekolah dengan ibu bapa di luar sana agar setiap program sekolah mendapat maklum balas untuk kepentingan kedua-dua pihak.

Acara penyampaian anugerah cemerlang disempurnakan oleh tetamu jemputan didahului dengan anugerah pelajar cemerlang PT3 2014 Sdr Norhanis Katiman. Diikuti pelajar cemerlang SPM 2014 terdiri dari Sdri Nurulnaziha Adman, Sdri Nor Haiza Jemain, Sdr Muhamad Danial Asryaf Sazali, Sdr Muhammad Ashraff Bibit dan Sdr Mohamad Shahrulnizam A Rahman. Seterusnya disampaikan pula sijil penghargaan  kepada guru-guru mata pelajaran SPM 2014 yang lulus 100% dan juga penyampaian cenderahati kepada AJK PIBG 2014. Pihak sekolah dan PIBG juga menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Daud Salim di atas kesudian beliau hadir merasmikan Mesyuarat Agung pada kali ini.

Sebelum berhenti rehat para hadirin dipertontonkan dengan persembahan Choral Speaking bertajuk Keyboard Warrior oleh kumpulan pelajar SMKB yang akan bertanding di peringkat daerah pada 15 April nanti. Selepas itu, Sdri Noor Farisya Amir mempersembahkan dendangan syair Definisi Orang Berakal dengan irama buluh perindu dan syair Panduan Untuk Para Remaja irama batu belah.

Sementara menunggu mesyuarat bermula acara cabutan nombor bertuah mengambil tempat di kendalikan oleh penolong setiausaha PIBG Ustzh. Noor Azzyean Nadia Abu. Mesyuarat Agung PIBG Ke-19 bermula sekitar jam 4.00 petang dan berakhir jam 5.30, ibu bapa dan penjaga yang hadir dijemput ke jamuan ringan di kantin sebelum bersurai. Pihak smkbelitong.com mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua yang sudi hadir, semoga kerjasama ini terus berkekalan di masa akan datang.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.