Latihan Kecemasan Kebakaran

File #2304152

23 April 2015, lebih kurang jam 9.30 pagi satu deringan loceng yang panjang telah dibunyikan menandakan berlakunya kecemasan. Semua warga sekolah bergerak menuju ke tapak perhimpunan kecemasan di perkarangan Stadium Mini. Mereka berkumpul mengikut kelas masing-masing, kakitangan pejabat pentadbiran memberikan Buku Kedatangan Pelajar kepada setiap ketua kelas untuk menyemak senarai pelajar. Setelah pengarah perhimpunan menerima semua laporan dari ketua kelas, didapati ada 3 orang pelajar dari kelas 3A yang tidak muncul di tapak perhimpunan. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan oleh anggota Kadet Bomba dan Kadet Pertahanan Awam. Beberapa minit kemudian pasukan penyelamat membawa ketiga-tiga pelajar tersebut ke tapak perhimpunan dengan seorang daripadanya terpaksa diusung akibat kecederaan.

Begitulah sedikit gambaran apa yang berlaku dalam Latihan Kecemasan Kebakaran hari ini. Latihan ini bertujuan untuk mendidik warga sekolah supaya sentiasa peka apabila berlaku situasi kecemasan tidak kira di mana ia berlaku. Sebagai contoh sekiranya kita ke pusat beli-belah atau bangunan kerajaan atau tempat baru yang kita tidak biasa, perkara pertama yang perlu diperhatikan ialah laluan KELUAR sekiranya berlaku kecemasan.

Dalam latihan hari ini, tempoh masa keseluruhan yang diambil ialah 5 minit 2 saat, lebih 2 saat dari tempoh di bawah 5 minit yang disasarkan. Menurut Tn Hj Sare’at Darwan yang bertindak selaku pengarah perhimpunan, latihan ini merupakan satu aktiviti yang serius dalam menangani masalah kecelaruan dalam situasi kecemasan. Oleh itu pelajar-pelajar mestilah bersungguh-sungguh dan bukan bersuka ria jalan berlenggang sambil bergurau senda. Pelajar perlu bergerak berdua-dua dengan senyap dan pantas tanpa berlari. Semua suis elektrik mesti dimatikan dengan tujuan untuk melambatkan pergerakan api kebakaran.

Sementara itu, pengarah operasi latihan, En Muhd Adnan Samuri berharap pelajar cenderung untuk mengambil berat dalam hal-hal berkaitan kecemasan kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga. Latihan ini juga akan dilakukan lagi pada masa akan datang bagi mencapai tempoh masa di bawah 5 minit dengan pergerakan yang lebih serius dan bersungguh-sungguh. Apa yang lebih utama ialah nyawa itu hanya satu dan tidak dapat ditukar ganti. Oleh sebab itulah latihan sebegini perlu dilakukan agar nanti sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini kita sentiasa bersedia dan tahu apa perlu dilakukan.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.