Kursus Kawad Kaki & Asas Pertolongan Cemas

Laporan oleh Nurul Ain Mohd Asnadi

Pada 1 April 2017, seramai 45 orang pelajar telah menyertai Kursus Kawad Kaki dan Asas Pertolongan Cemas yang telah diadakan di SMK LKTP Belitong. Peserta program ini terdiri daripada semua ahli Kadet Pertahanan Awam dan semua AJK tertinggi setiap unit Pasukan Beruniform. Semua guru juga melibatkan diri untuk memeriahkan lagi program tersebut di mana guru-guru juga terlibat belajar cara kawad kaki. Seawal jam 8 pagi para peserta diminta untuk berkumpul di kantin bagi menunggu Pasukan Pertahanan Awam Daerah Kluang yang terdiri dari 5 orang ahli yang akan mengendalikan kursus ini.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah mempelajari asas kawad kaki selama 4 jam bermula jam 8:30 sehingga 12:30 tengah hari bertempat di Dataran Budi. Jurulatih memberi kelonggaran untuk  merehatkan diri selama 10 minit setiap satu jam.

Seterusnya, pada jam 1 petang para peserta dihidangkan dengan makanan tengah hari yang disediakan oleh pelajar SKM dan guru. Mereka menjamu selera di Surau Al-Falah. Selanjutnya, para peserta beredar dari surau selepas menunaikan solat zohor ke Dewan Bestari. Aktiviti yang dijalankan ialah penerangan kaedah bantuan awal kecemasan. Antara barang  yang ditunjukkan ialah peti kecemasan dan anduh. Kaedah yang ditunjukkan ialah merawat mangsa dalam kemalangan, lemas dan kebakaran.

Akhir sekali, teknik yang ditunjukkan ialah CPR iaitu bantuan pernafasan. Para peserta diberi peluang melakukan CPR kepada model yang dibawa oleh jurulatih. Pada majlis penutupan program, Cikgu Hafiz menyampaikan sedikit ucapan kepada semua peserta kursus agar mengambil manfaat dari kursus ini untuk digunakan dalam aktiviti Pasukan Badan Beruniform pada masa akan datang. Cenderahati penghargaan juga diberikan kepada Pasukan Pertahanan Awam yang sudi meluangkan masa bersama ahli warga SMKB. Sesi bergambar menjadi akhir program kursus tersebut. Majlis bersurai.

Bookmark the permalink.

Comments are closed