Kem Bestari Solat

Laporan oleh Aiman Najla Muchtar

Kem Bestari Solat anjuran pihak SMK LKTP Belitong dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling dan Panitia Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diadakan sempena kesinambungan daripada Kem Sahsiah yang telah dilaksanakan sebelum ini.  Pelaksanaan program dibuat mengikut ketetapan yang berikut. Tarikh: 12 & 13 Mei 2014, bertempat di Surau SMK LKTP Belitong, masa pendaftaran jam 2 petang dengan kadar bayaran sebanyak RM 20.00 bagi setiap peserta. Misi program bertujuan untuk melatih para pelajar solat dengan tertib, menyedarkan pelajar betapa pentingnya solat dan mengajak pelajar supaya menitik-beratkan amalan solat dalam kehidupan.

Seramai 94 orang peserta yang terdiri daripada pelajar perempuan menyertai kem ini yang dipimpin oleh 3 orang fasilitator lelaki yang diketuai oleh Sdr Rizal Marsudin dan 3 fasilitator perempuan yang diketui oleh Ustazah Azizah Mohamad. Penyelaras program ini diterajui oleh En. Sudarma, Pn. Noorhalimaton, En. Akbal dan Pn. Liza.

Selepas pendaftaran, aktiviti yang pertama dijalankan ialah ceramah mengenai rukun solat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd. Azilan dari SK Pengeli Timur. Sesi ceramah berjalan sekitar 3 jam dengan pengisian yang padat. Jam 5:00pm, peserta  dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk aktiviti amali solat bersama guru-guru. Melalui aktiviti ini, peserta dapat memperbaiki cara solat dan bacaan dalam solat. Pada sebelah malam, Ustazah Azizah menyampaikan ceramah “Membina Iman Muslimah”. Peserta juga ada melakukan latihan dalam kumpulan, mencari penyelesaian masalah tentang masalah sosial pada masa kini. Ustazah kerap memperingatkan para peserta agar menjaga maruah diri sebagai seorang wanita Islam.

Seawal jam 3:00 pagi para peserta telah bangun mempersiapkan diri untuk mengikuti aktiviti Qiamulail yang telah ditetapkan. Pengisian slot rohani pada waktu dinihari tersebut dikelolakan oleh Cikgu Sudarma. Beliau mengajar cara dan melakukan solat tahajud, witir, hajat dan taubat. Dengan itu, para peserta boleh melakukan solat sunat tersebut di rumah juga. Semoga para peserta mempraktikkan ilmu yang yang diperolehi dan menjadikan ia amalan dalam kehidupan. Setelah itu, aktiviti diteruskan dengan mendengar tazkirah subuh bersama CA Nasrull Shahfik yang juga merupakan salah seorang fasilitator dalam program ini. Tazkirah yang disampaikan sangat menarik dan banyak manfaat yang diperolehi daripadanya.

Pada 8:00 am, kem ini diteruskan dengan ceramah yang bertajuk “Solah” (Talian langsung manusia dengan Allah) oleh Ustaz Azhari Awang dari Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim. Ibu bapa juga turut serta dalam ceramah ini. Beliau mengingatkan ibu bapa supaya menitik-beratkan hal solat tidak kira di sekolah mahupun di rumah. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Kem berakhir pada 10:00am.

Solat merupakan kewajipan utama bagi setiap Muslim sebagaimana Rukun Islam. Solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam Islam. Oleh itu, kita mestilah melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk sepanjang hayat.

Bookmark the permalink.

Comments are closed