Hari Perpisahan Mantan Pengetua En. Zainudin bin Jaini

Laporan oleh Aiman Najla Muchtar

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Selama setahun lebih menabur bakti di SMK LKTP Belitong, Cikgu Zainudin Jaini akhirnya meninggalkan sekolah berpindah ke SMK Sultan Alauddin Riayat Shah I, Pagoh. Budi baik dan jasa beliau tidak pernah dilupakan “umpama besi yang baik tiada berkarat”. Pada 31 Mac yang lepas, satu majlis perpisahan untuk mantan pengetua SMK LKTP Belitong telah diadakan di laman Stadium Mini. Disamping itu, kemeriahan majlis yang berlangsung ditambah dengan acara sambutan ulangtahun pelajar dan guru yang lahir pada bulan Mac. Mereka diraikan dalam upacara pemotongan kek dan pelajar pula diberikan buku sebagai hadiah. Majlis diteruskan dengan bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan bacaan doa oleh Ustaz Zamri Abdullah bagi memberkati majlis perpisahan mantan pengetua.

Upacara Hari Perpisahan Pengetua ini dimulakan dengan pembacaan biodata mantan pengetua Cikgu Zainudin Jaini oleh Pn. Sabariah Mamat. Mengenali sisi peribadi Cikgu Zainudin Jaini, beliau merupakan seorang ketua yang tegas, berdedikasi dan baik. Seperti kata-kata yang diucap oleh Cikgu Sare’at Darwan “Cikgu seorang yang dapat menerima pendapat orang lain, boleh bergaul dengan orangg bawahan tanpa sebarangan halangan, memahami orang lain, namun agak tegas dalam perkara pokok. Ini ciri- ciri seorang pemimpin.” Beliau juga seorang yang mesra dengan pelajar dan turut serta dalam setiap program melibatkan pelajar seperti acara senamrobik dan sebagainya.

Di kesempatan majlis perpisahan ini, Cikgu Zainudin Jaini menyampaikan ucapan terakhir kepada warga SMK LKTP Belitong. Banyak nasihat dan amanat yang disampaikan. Sebagai tanda penghargaan kepada mantan pengetua, wakil dari setiap tingkatan menyampaikan cenderamata kepada beliau. Saudara Muhamad Danial Asyraf Sazali selaku ketua pelajar mewakili semua pelajar menyampaikan ucapan dan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan pengetua.

Majlis Perpisahan ini diakhiri dan diserikan lagi dengan bacaan sajak yang puitis dideklimasikan oleh Cikgu Mustafa Kamal Yahya. Sementara itu para pelajar dan guru beratur untuk bersalaman dan mengucapkan kata-kata terakhir kepada Cikgu Zainudin sebelum pulang. Banyaknya jasa yang ditaburkan oleh beliau, semoga beliau terus cemerlang sebagai Guru: Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi. Diharapkan Cikgu Zainudin sentiasa mengingati seluruh warga SMK LKTP Belitong.

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Bookmark the permalink.

Comments are closed.